TANJONG MALIM, 7 Mac- Integriti merupakan unsur penting dalam kehidupan harian khasnya berkaitan kepemimpinan seseorang dalam mentadbir organisasi yang perlu memiliki integriti kendiri kata Pro Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris Tan Sri Datuk Seri Dr. Ismail Bakar.
Bekas Ketua Setiausaha Negara itu berkongsi pengalaman selama 36 tahun dalam perkhidmatan awam dan empat tahun dalam perkhidmatan swasta yang menjadi amalan dalam prinsip pentadbirannya dalam program Syarahan Eksekutif bertajuk 'Integriti Dalam Kepimpinan'.
"Integriti bukan hanya pematuhan kepada peraturan, tetapi kejujuran kendiri dihidupkan dalam diri petugas tanpa mengambil kira faktor luaran seperti nama, pangkat atau perhatian awam.
"Kejujuran tidak selalu menguntungkan, dusta atau khianat pasti merugikan," tegas beliau dalam syarahannya di sini.
Perkara itu dilihat boleh memacu UPSI supaya terus memperkasa integriti dalam kalangan warganya agar sistem pentadbiran universiti berjalan dengan baik dan efektif demi kecemerlangan masa depan.
Dalam pada itu penekanan tentang kepentingan pematuhan masa bekerja, kepimpinan tegas, kerjasama berpasukan selain perlu memiliki pemikiran kreatif serta mengetahui visi dan misi organisasi.
"Seseorang pemimpin selain memiliki ilmu yang tinggi dan fleksibel, perlu mengetahui ke mana hala tuju yang hendak dibawa sebagai nilai tambah organisasinya," katanya.
Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antrabangsa) UPSI. Prof. Dr. Abdul Rahim Razali berkata, universiti itu tekad mempertingkat integriti dalam kalangan warganya.
UPSI juga pernah memperoleh penarafan peringkat gangsa bagi Anugerah Integriti, Governan dan Anti Rasuah Kebangsaan pada tahun 2022.
"Integriti perlu difahami iaitu bersikap jujur dan daya kepatuhan yang ditonjolkan secara berterusan terhadap nilai-nilai serta prinsip moral berlandaskan etika sesuatu pekerjaan," katanya.
Majlis itu turut dihadiri Seri Rohani Abdullah; Ahli Lembaga Pengarah UPSI, Datuk Seri Ahmad Burak; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Innovasi), Profesor Dr. Suriani Abu Bakar serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin.