fb fb fb fb fb

UPSI sah jadi ahli IAIC, perkukuh peranan dalam penjagaan bersepadu global

Sasigaran (kiri) menerima plak cap tangan simbolik penyertaan UPSI sebagai ahli IAIC bersama-sama dengan wakil-wakil universiti daripada Jepun, Estonia, dan Korea Selatan/Foto UPSI

TANJUNG MALIM, 6 Disember – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus melakar kecemerlangan di pentas antarabangsa apabila diterima secara rasmi sebagai ahli Perikatan Antara Benua bagi Penjagaan Bersepadu (IAIC), sebuah jaringan global yang dipimpin oleh Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS).

Pengarah Eksekutif Konsortium Universiti Pendidikan Asia-Pasifik (CAPEU), Sasigaran Moneyam berkata UPSI diumumkan sebagai salah satu daripada enam rakan strategik baharu bagi tahun 2025, bersama institusi ternama dari Estonia, Jepun, Korea Selatan dan India.

Menurutnya, perikatan itu membawa tema “Melangkaui Sempadan, Melangkaui Usia: Membentuk Jalinan Penjagaan Bersepadu Masa Hadapan”, yang bervisikan pembentukan sistem penjagaan merentas geografi dan generasi.

“Melalui penyertaan ini, UPSI bakal memainkan peranan signifikan dalam kajian rentas wilayah bermula tahun 2026, khususnya dalam memperkukuh pembelajaran silang budaya berkaitan penjagaan warga emas.

“Kajian itu bakal membuka lembaran baharu dalam penyelidikan universiti, selaras dengan hasrat perikatan untuk memacu agenda penjagaan bersepadu yang melangkaui sempadan,” katanya dalam kenyataan universiti itu.

0612 UPSI IAIC PORTAL 2Sasigaran menyampaikan cenderahati kepada bekas Presiden Singapura yang juga Pro-Canselor SUSS, Halimah Yacob/Foto UPSI

Majlis berkenaan berlangsung pada 20 dan 21 November lalu di Conrad Marina Bay, Singapura, yang menyaksikan keahlian rasmi UPSI bersama institusi lain seperti Jeonbuk National University dan Teikyo University melalui satu upacara simbolik.

Sasigaran menyifatkan pengiktirafan keanggotaan dalam IAIC sebagai langkah strategik yang meletakkan UPSI di barisan hadapan dalam menangani isu global.

“Kolaborasi ini merupakan pencapaian bermakna. Ia bukan sekadar keahlian, tetapi komitmen untuk berkongsi kepakaran serta belajar daripada rakan strategik antarabangsa dalam membentuk ekosistem penjagaan warga emas yang lebih mampan dan bermaruah,” ujarnya.

Turut hadir, Canselor SUSS merangkap bekas Presiden Singapura, Puan Halimah Yacob sebagai tetamu kehormat.

Dalam ucapannya, Halimah menegaskan penuaan bukan satu beban, sebaliknya fasa kehidupan yang wajar dihormati dan disokong agar setiap individu terus mempunyai nilai serta rasa kepunyaan.

Persidangan IAIC 2025 turut menampilkan pelbagai pengisian ilmiah termasuk lawatan lapangan dan pertunjukan fesyen “Jalinan Gaya”, yang menggabungkan kreativiti warga emas dan pelajar, mencerminkan komitmen IAIC terhadap hubungan antara generasi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN