BESERI, 6 Disember -Lebih 200 peserta memeriahkan Program Fun Run Angsana sejauh 5 kilometer merentasi laluan taman dan kampung di sekitar Beseri.
Program dianjurkan sebagai usaha memperkukuh silaturahim dalam kalangan penduduk setempat di samping memupuk gaya hidup sihat melalui aktiviti riadah santai.
Pengerusi JPKKP Taman Angsana, Ibrahim Ismail berkata, pembudayaan amalan hidup cergas dan aktif perlu menjadi kebiasaan komuniti dan pelaksanaan program sebegini akan diteruskan secara berkala.
"Selain gaya hidup sihat dan aktif, fun run ini juga bagi mengajak masyarakat menghayati keindahan sekitar kawasan kampung dan alam semula jadi yang terbentang luas sepanjang laluan.
"Penyertaan diterima dari komuniti setempat amat baik dengan pelbagai peringkat usia menyertai Fun Run kali ini," katanya bercakap pada Program Fun Run Angsana di Perkarangan Surau Taman Angsana, Beseri yang dilancarkan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais.
Program anjuran Persatuan Kebajikan Sahabat Wanita Satu Perlis turut dimeriahkan dengan pelbagai hadiah cabutan bertuah serta penganjuran Jualan Rahmah oleh KPDN dan jualan pelbagai produk makanan dan minuman dari usahawan tempatan.