TANJONG MALIM, 18 September- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bakal menubuhkan sebuah pusat pendidikan terbuka di kampusnya melalui inisiatif bersama Kementerian Pendidikan Rusia dengan kerjasama strategik Altai State Pedagogical University.
Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Prof. Madya Dr. Mazura@Mastura Muhammad berkata, penubuhan pusat itu merupakan langkah penting hasil cetusan idea Altai State Pedagogical University yang berhasrat memperkukuh hubungan akademik dengan UPSI.
Menurut beliau, konsep pendidikan terbuka berteraskan falsafah akses ilmu tanpa sempadan iaitu menyediakan bahan pembelajaran dan sumber pengetahuan berkualiti tinggi yang boleh diakses secara percuma atau pada kos minimum.
"Open Education menekankan keterangkuman, fleksibiliti serta penggunaan teknologi bagi menyokong pembelajaran sepanjang hayat. Ia bukan sahaja memperkayakan pengalaman pembelajaran, malah mengurangkan jurang akses pendidikan dalam kalangan masyarakat," katanya.
Kolaborasi ini dijangka membuka ruang perkongsian kepakaran dalam bidang teknologi pendidikan, pembangunan bahan pembelajaran terbuka serta pelaksanaan penyelidikan bersama.
Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UPSI dan Altai State Pedagogical University dijadual berlangsung pada 7 Oktober depan, sekali gus menandakan permulaan rasmi kerjasama akademik kedua-dua institusi.
Bagi mengukuhkan hubungan kebudayaan, UPSI turut akan menganjurkan Festival Mosaic Russia pada 7 dan 8 Oktober depan di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, yang bakal mempersembahkan seni, budaya dan warisan Rusia kepada warga UPSI serta masyarakat setempat.
Penubuhan pusat ini dijangka mengangkat kedudukan UPSI sebagai institusi pendidikan terulung negara serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa Bersatu (SDG 4) yang menekankan pendidikan berkualiti, inklusif dan saksama untuk semua.