KUALA LUMPUR, 31 Mei- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) komited untuk membantu memperkasa sistem pendidikan dan melatih pendidik dari Uzbekistan.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata universiti itu sentiasa menjadi peneraju dalam membina jaringan pendidikan global, khususnya dengan negara-negara Asia Tengah.
"Program latihan profesional ini merupakan manifestasi kesungguhan UPSI dalam mendukung agenda pendidikan antarabangsa, di samping memperkukuh kapasiti pendidik dari luar negara menerusi pendekatan latihan berstruktur dan praktikal.
Kerjasama ini juga adalah hasil daripada pertemuan dan perbincangan strategik berlangsung dalam Forum Pendidikan Tinggi Malaysia–Uzbekistan pada 4 Februari lalu, yang mana UPSI diberi kepercayaan untuk menerajui inisiatif latihan kepakaran dalam bidang pendidikan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Md Amin, UPSI akan terus memainkan peranan aktif dalam menyokong pembangunan pendidikan serantau dan antarabangsa, bagi meneraju kebitaraan pendidikan di Malaysia serta peneraju kecemerlangan pendidikan global.
Terdahulu, seramai 22 pensyarah dan guru dari Uzbekistan menyertai program latihan profesional intensif anjuran UPSI yang berlangsung selama dua minggu bermula 15 hingga 29 Mei di Ampang, Selangor.
Duta Uzbekistan ke Malaysia, Dr. Karomidin Gadoev menghargai komitmen UPSI dalam menganjurkan program latihan berimpak tinggi kepada warga pendidik Uzbekistan.
Menurut beliau, program itu memberi tumpuan kepada peningkatan kompetensi pedagogi menerusi pendekatan pengajaran inovatif, strategi penilaian berkesan serta penggunaan teknologi digital dalam bilik darjah, seiring keperluan pendidikan global masa kini.
“Saya yakin ilmu dan kemahiran yang diperoleh melalui program ini akan dapat diaplikasikan secara langsung di institusi masing-masing, khususnya dalam meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan embelajaran (PdP) serta pengurusan akademik yang lebih sistematik.
Program ini turut mencerminkan semangat kerjasama erat antara Malaysia dan Uzbekistan dalam bidang pendidikan tinggi. Ia membuka ruang strategik untuk pertukaran pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik antara pendidik kedua-dua negara," katanya.
Katanya, beliau berharap hubungan dua hala itu dapat diperkukuh menerusi penganjuran program akademik secara bersama, penyelidikan kolaboratif serta pertukaran tenaga pengajar dan pelajar pada masa akan datang.