fb fb fb fb fb

Kembara JOM, sorot kisah golongan muda berdepan cabaran ekonomi

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli

BANDARAYA MELAKA, 31 Mei- Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) 2025 fokus kepada keperluan belia di kawasan luar bandar dan cabaran yang dihadapi mereka.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata kembara yang bermula pada Julai depan, akan diadakan mengikut zon, bersama jabatan dan agensi berkaitan.

Pahang dipilih sebagai lokasi mula dan acara kemuncak serta penutup kembara akan berlangsung di Melaka, Oktober depan.

"Kali ini, sasaran kita adalah untuk mengetengahkan suara golongan muda. Ada golongan ini yang berdepan cabaran ekonomi maka kita nak dengar dan menyoroti kisah mereka.

Edisi lalu, kita adakan di Borneo iaitu di Sabah dan Sarawak. Kita ambil masa lebih kurang satu minggu untuk menyelami suara mereka. Kita masuk ke dalam kawasan kampung untuk luangkan masa bersama mereka. Maka kita ubah pelan, dari 2-3 jam kita jadikan kepada 2-3 hari," kata Adam Adli kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pembukaan Decathlon di Bandaraya Melaka.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Sebelum ini, Kembara JOM membawa konsep dialog pada sesi townhall antara belia, pihak KBS bersama kerajaan negeri.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM