fb fb fb fb fb

Unit Kecemasan HSAH sesak, pergiat kesedaran pesakit berkenaan rawatan

Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari

SUNGAI PETANI, 31 Mei- Isu kesesakan pesakit di Unit Kecemasan, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) akan diberi perhatian serius.

Usaha tersebut termasuk mempergiat kempen kesedaran berkaitan pesakit bukan kategori kecemasan atau kritikal, untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran.

Menurut Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari, pemerkasaan kesihatan perlu dilaksana dari semasa ke semasa selain beberapa cadangan juga telah dibawa ke parlimen untuk pertimbangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
  
Antaranya, memberi perhatian kepada perjawatan baharu untuk menambah bilangan doktor, jururawat dan kakitangan sokongan, serta mempertimbang pembinaan blok tambahan untuk menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.
 
Langkah tersebut bukan sahaja dapat meringankan beban kakitangan sedia ada, tetapi juga meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di kawasan utara Semenanjung.

"Kalau kita lihat Zon Hijau, Zon Kuning, Zon Merah, peratusan kategori bukan kecemasan itu sebenarnya agak tinggi sekali gus menyebabkan punca berlaku kesesakan di hospital.

Jadi, jika kita memperkasa perkhidmatan kesihatan asas seperti membuat promosi dengan lebih agresif, pendedahan terhadap penyakit-penyakit yang tidak kronik dan tidak memerlukan pesakit untuk hadir ke Unit Kecemasan. Sebaliknya, hanya perlu ke klinik kesihatan daerah untuk mendapatkan rawatan. Justeru, aspek yang paling penting adalah kempen kesedaran kepada masyarakat," kata Dr. Mohammed Taufiq.
 
Beliau ditemui selepas menghadiri Program One Stop Crisis Centre - Emergency Medicine Fun Run and Mass CPR di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, hari ini.
 
Program bersempena dengan Hari Perubatan Kecemasan Sedunia itu merupakan salah satu usaha mewujudkan kesedaran terhadap fungsi dan peranan jabatan kecemasan yang merupakan pintu masuk utama ke fasiliti kesihatan atau hospital.

Berdasarkan data terkini, secara purata Unit Kecemasan HSAH menerima kehadiran pesakit antara 250 hingga 300 orang sehari dan boleh meningkat kepada 350 pesakit sehari pada cuti hujung minggu atau cuti musim perayaan.
 
Daripada jumlah itu, 70 hingga 80 peratus merupakan pesakit bukan kecemasan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM