fb fb fb fb fb

JPJ tambah baik pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM mulai 1 Jun

Datuk Aedy Fadly Ramli (kiri) bersama Datuk Seri Amirudin Shari pada Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen (B2) Peringkat Negeri Selangor 2025

SELAYANG 31 Mei- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan dua penambahbaikan utama dalam prosedur pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM, berkuat kuasa 1 Jun ini, melibatkan ketebalan bunga tayar dan kenderaan berat jenis dumper atau tipper.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, ketetapan baharu itu mewajibkan semua kenderaan perdagangan mempunyai ketebalan bunga tayar sekurang-kurangnya 1.6 milimeter pada keseluruhan permukaan tayar yang menyentuh jalan.

"Sebelum ini, JPJ telah menetapkan PUSPAKOM untuk memeriksa sekurang-kurangnya 75 peratus daripada permukaan tayar yang diperiksa perlu mematuhi had minima tersebut. Dengan penetapan baharu ini, mana-mana kenderaan perdagangan yang tidak mematuhi ketetapan tersebut adalah tidak lulus terhadap pemeriksaan kenderaan," katanya.

Sementara itu, pemeriksaan ke atas kenderaan dumper tipper pula akan memberi fokus kepada pematuhan spesifikasi pagar sisi (side board) seperti yang ditetapkan dalam permit APAD dan pelan teknikal kenderaan.

“Pemilik kenderaan dumper tipper yang mengangkut muatan khas turut diwajibkan mengemukakan Surat Tawaran Kelulusan (STK) atau permit semasa pemeriksaan bagi memastikan muatan dan jenis badan kenderaan selaras dengan kelulusan,” jelas Datuk Aedy Fadly.

Tambah beliau, pemilik kenderaan yang gagal dalam pemeriksaan akan diberikan dua pilihan: membetulkan kenderaan dan mendapatkan permit baharu daripada APAD serta mengemukakan pelan teknikal kepada JPJ, atau menyesuaikan semula ketinggian pagar sisi kepada 762 milimeter tanpa perlu menukar kod badan.

“Langkah ini bertujuan meningkatkan keselamatan jalan raya, mengelakkan penyalahgunaan spesifikasi kenderaan dan memastikan pematuhan terhadap syarat muatan khas,” kata Datuk Aedy Fadly.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen (B2) Peringkat Negeri Selangor 2025 di Dewan Seri Siantan, Selayang yang turut disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE