fb fb fb fb fb

Malaysia-Indonesia perkukuh kerjasama media, kongsi kepakaran dan bahan berita

Foto FB Fahmi Fadzil

TOKYO, 31 Mei- Hubungan strategik dua agensi iaitu Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dan Agensi Berita Indonesia (ANTARA) bakal diperhebat melalui kerjasama yang lebih menyeluruh.

Ini termasuk kerjasama melibatkan pertukaran bahan berita, liputan rentas sempadan, serta perkongsian sumber dan latihan profesional.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata jalinan itu penting dalam memastikan kedua-dua agensi kekal relevan, berwibawa dan berupaya menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat masing-masing.

Keputusan tersebut dicapai hasil pertemuan beliau dengan rakan sejawat dari Indonesia, Menteri Komunikasi dan Digital, Meutya Viada Hafid, sempena Mesyuarat Menteri Asia Pacific Telecommunity (APT-MM) 2025.

"Perbincangan dengan Menteri Meutya dari Indonesia banyak berlegar yang mana kita mengeratkan lagi hubungan BERNAMA dan ANTARA, dua agensi berita yang tersohor dan sangat penting bagi kedua-dua negara.

Selain itu, inisiatif lain yang boleh kita laksana untuk tingkatkan hubungan melalui organisasi ISWAMI yang berperanan merapatkan silaturahim antara organisasi media Malaysia dan Indonesia," kata Datuk Fahmi kepada pemberita, hari ini.

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk membantu Indonesia dalam beberapa perkara, termasuk dalam aspek kawal selia media sosial di negara tersebut.

Tambahnya, pertemuannya dengan Menteri Meutya Viada Hafid turut merangkumi pelbagai isu penting berkaitan kerjasama dua hala, khususnya dalam sektor komunikasi, media dan pembangunan infrastruktur digital.

Perbincangan itu dianggap selari dengan keperluan semasa, memandangkan landskap maklumat semasa semakin kompleks dan saling berkait di peringkat serantau.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM