SINGAPURA, 31 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Lapangan Terbang Changi, Singapura pada pukul 11.39 pagi tadi untuk menghadiri Persidangan Keselamatan Asia, Shangri-La Dialogue 2025, yang berlangsung di Hotel Shangri-La.
Lawatan beliau kali ini turut dijadualkan dengan ucapan khas pada sesi utama persidangan, yang menjadi platform penting bagi membincangkan isu keselamatan serantau dan antarabangsa.
Kehadiran Datuk Seri Anwar juga memberi peluang kepada pertemuan rasmi pertama beliau bersama Perdana Menteri baharu Singapura, Lawrence Wong, susulan pelantikan Wong pada awal Mei lalu.
Selain itu, Perdana Menteri turut dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth dan seterusnya bertemu Presiden Boeing Global, Dr. Brendan Nelson AO.
Mesyuarat bersama Dr. Nelson dijangka membincangkan kerjasama strategik dalam sektor pertahanan dan teknologi aeroangkasa, bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rakan industri utama di rantau ini.
Turut hadir dalam pertemuan berkenaan ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, bersama beberapa pegawai kanan dari Wisma Putra, Pejabat Perdana Menteri dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura.
Pada tahun lalu, Singapura merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di peringkat global, dan rakan dagang terbesar Malaysia dalam kalangan negara ASEAN. Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Singapura mencatatkan peningkatan 8.9 peratus kepada RM396.22 bilion, merangkumi 13.8 peratus daripada keseluruhan perdagangan negara.
Daripada jumlah itu, eksport Malaysia ke Singapura bernilai RM230.86 bilion manakala import dari Singapura pula bernilai RM143.73 bilion.
Sebagai negara jiran rapat dan salah satu rakan utama Malaysia dalam ASEAN, hubungan dua hala Malaysia–Singapura terus kukuh meliputi pelbagai bidang kerjasama. Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.