KOTA TINGGI, 31 Mei - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima lebih 10,000 permohonan bagi pengambilan Perajurit Muda Siri 228/24, membuktikan minat tinggi golongan belia terhadap kerjaya dalam angkatan pertahanan negara.
Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Shamsuddin Ludin, berkata TLDM tidak pernah ketandusan permohonan baharu setiap tahun dan sambutan daripada pelbagai kaum turut menunjukkan peningkatan.
"Perlu ingat dalam dunia moden serta era teknologi kini, ia menjadi tunjang kekuatan sesebuah angkatan. Mereka yang mempunyai kelayakan sesuai akan mendapat tempat," katanya kepada pemberita selepas Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda TLDM siri 228/24 di KD Sultan Ismail, Tangjung Pengelih hari ini.
Seramai 650 perajurit telah menamatkan latihan asas itu selama enam bulan.
Divisyen Srikandi telah dinobatkan sebagai Divisyen Terbaik Keseluruhan buat julung kalinya.
Gelaran Laskar Muda Terbaik Keseluruhan (Lelaki) disandang oleh Muhammad Alhafiz Mohammad Isa, manakala Nur Nadilla Tuarah dipilih sebagai Laskar Muda Terbaik Keseluruhan (Wanita).