SERDANG, 31 Mei – Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SBE), Universiti Putra Malaysia (UPM) mencipta sejarah apabila tersenarai antara 120 sekolah terbaik dunia yang terima pengiktirafan Triple Crown, daripada lebih 13,000 institusi global.
Pengiktirafan itu dianugerahkan oleh tiga badan akreditasi utama dunia iaitu Association of MBAs (AMBA) dari United Kingdom, Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB) dari Amerika Syarikat dan European Quality Improvement System (EQUIS) dari Eropah.
Dengan pencapaian tersebut, SBE UPM kini sebaris dengan sekolah perniagaan terkemuka dunia seperti London Business School, INSEAD dan HEC Paris.
Naib Canselor UPM, Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, kejayaan itu membuktikan bahawa institusi pendidikan tinggi awam di Malaysia mampu menyaingi universiti bertaraf global.
“Ini selari dengan aspirasi UPM untuk menjadi universiti bereputasi tinggi serta menyokong usaha negara dalam menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pencapaian itu juga menyumbang secara langsung kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi), khususnya dalam memperkukuh kedudukan negara di peringkat antarabangsa.
“Status Triple Crown ini memberi kelebihan strategik kepada SBE UPM dalam menarik tenaga akademik, penyelidik dan pelajar berkualiti dari seluruh dunia, selain memperluas jaringan kerjasama global,” katanya lagi.
Sementara itu, Dekan SBE UPM, Bany Ariffin Amin Noordin menyifatkan pencapaian tersebut sebagai satu bukti nyata terhadap dedikasi berterusan seluruh ekosistem akademik fakulti berkenaan.
“Kami komited menjadi peneraju pendidikan perniagaan di Asia Tenggara dan akan terus menyumbang kepada pembangunan negara melalui pendidikan, penyelidikan serta inovasi yang berorientasikan masa depan,” katanya.