fb fb fb fb fb

Malaysia perkukuh hubungan pertahanan serantau di IISS Shangri-La Dialogue 2025

FOTO FB Khaled Nordin

SINGAPURA, 31 Mei- Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meneruskan lawatan kerja di Singapura sempena IISS Shangri-La Dialogue 2025 dengan mengadakan beberapa pertemuan penting bersama rakan sejawat serantau serta rakan kerjasama strategik.

Menerusi satu kenyataan di akaun Facebook rasminya, beliau memaklumkan telah mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Pertahanan Singapura yang baharu, Chan Chun Sing, malam tadi.

Datuk Seri Mohamed Khaled merakamkan ucapan tahniah kepada Chan Chun Sing atas pelantikan tersebut, sambil menyatakan keyakinan bahawa hubungan pertahanan dua hala antara Malaysia dan Singapura akan terus diperkukuh.

Beliau juga menyatakan harapan agar kerjasama Malaysia–Singapura dapat diperluas dalam konteks ASEAN, bagi memastikan Asia Tenggara kekal bebas, stabil dan selamat.

Pagi tadi, Datuk Seri Mohamed Khaled turut menyertai sesi sarapan bersama Menteri-Menteri Pertahanan negara anggota Five Power Defence Arrangements (FPDA) yang turut disertai Australia, New Zealand, Singapura dan United Kingdom.

Menurutnya, kerjasama FPDA yang telah melebihi 50 tahun menjadi instrumen penting dalam menjamin kestabilan dan keselamatan serantau.

“Kesemua negara anggota FPDA turut menegaskan komitmen bersama untuk memastikan pakatan ini kekal relevan dalam menghadapi cabaran keselamatan semasa,” katanya.

Kerjasama erat menerusi FPDA dilihat mampu memperkukuh kepercayaan bersama, meningkatkan kesalinghubungan dan kebolehoperasian antara angkatan pertahanan negara-negara anggota.

Lawatan Datuk Seri Mohamed Khaled ke Singapura kali ini juga memberi peluang kepada Malaysia untuk menyuarakan pendirian dalam pelbagai forum strategik serantau, selain memperkukuh keterlibatan Malaysia dalam platform kerjasama pertahanan pelbagai hala.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE