fb fb fb fb fb

LPT2 dijangka alami peningkatan trafik hingga 60,000 kenderaan sehari

Foto fail

KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Sebanyak 60,000 kenderaan sehari dijangka menggunakan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sempena cuti perayaan Aidiladha.

Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 dalam kenyataan berkata, jumlah peningkatan kenderaan dijangka berlaku pada hari-hari puncak, iaitu 5 dan 6 Jun serta 8 dan 9 Jun ini.

Beberapa inisiatif diambil termasuk menyediakan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA menerusi aplikasi PLUS bagi membantu pengguna lebuh raya merancang perjalanan lebih awal.

Pengagihan trafik itu untuk mengelakkan kenderaan tertumpu di satu-satu lokasi di lebuh raya secara serentak

"Untuk mendapatkan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA, pengguna lebuh raya boleh memuat turun dan mengakses aplikasi PLUS untuk memilih waktu perjalanan yang paling optimum bagi perjalanan di LPT2 antara 5 hingga 10 Jun," kata kenyataan itu.

PT2 menyeru orang ramai supaya merancang dan menyusun jadual perjalanan lebih awal berdasarkan cadangan MyPLUS-TTA bagi perjalanan pulang ke kampung halaman pada 5 hingga 7 Ju.

Selain menyusun jadual perjalanan kembali semula ke Lembah Klang pada 8 hingga 10 Jun selepas bercuti sempena Aidiladha.

Sementara itu, tiada penutupan lorong untuk kerja-kerja penyelenggaraan di LPT2 bermula 5 hingga 9 Jun ini kecuali melibatkan kerja-kerja kecemasan, pengalihan kemalangan dan pembaikan kritikal.

LPT2 Sdn Bhd turut mengambil beberapa langkah lain, antaranya menyediakan lebih 300 petugas dalam ekosistem LPT2 terutama di plaza tol dan pusat pemantauan trafik.

“Selain itu, LPT2 turut menyediakan lebih daripada 160 anggota RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia) untuk membantu melancarkan pengurusan trafik di R&R, hentian sebelah dan plaza tol terpilih untuk keselesaan pengguna," katanya lagi.

TETITIA YUSOFF