fb fb fb fb fb

UMK raih anugerah Global Award for World Heritage Education Innovative Cases

(FOTO UMK)

KUALA LUMPUR, 20 September- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui UMK-Tropical Rainforest Research Centre (UMK-TRaCe) Fakulti Sains Bumi (FSB) mencipta sejarah apabila memenangi anugerah Global Award for World Heritage Education Innovative Cases (AWHEIC) bagi kategori Star of Outstanding di Riyadh, Arab Saudi, baru-baru ini.

Menurut Dekan FSB, Prof Madya Dr Mohamad Faiz, pengiktirafan di peringkat antarabangsa ini adalah hasil daripada penganjuran Program UNESCO World Heritage Volunteer (WHV) yang berlangsung di Tasik Banding, Gerik, Perak tahun lalu yang telah menerima pencapaian luar biasa khususnya dalam kempen pemulilharaan dan kelestarian alam sekitar di kawasan hutan simpan Belum.

Jelas beliau, buat julung kali Malaysia menerima pengiktirafan berkenaan dan dijemput untuk berkongsi mengenai projek UMK-TRaCe pada sesi perkongsian Kes Inovatif Pendidikan Warisan Dunia Terkemuka Global yang dianjurkan  UNESCO.

Prof Madya Dr Mohamad Faiz berkata  demikian selepas Majlis penyampaian anugerah yang disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha, Suruhanjaya China UNESCO, Mr. Ying Chui sempena Program UNESCO Extended 45th Session of The World Heritage Committee di Riyadh, Arab Saudi.

Turut hadir, Pengarah UMK-Trace, Dr. Muhammad Firdaus Abdul Karim.

Dalam satu kenyataan media hari ini, beliau turut merakamkan penghargaan kepada EMKAY Group, Pulau Banding Foundation, Belum Rainforest Management khususnya Allahyarham Tan Sri Dato’ Mustapha Kamal, Prof Emeritus Dr. Abdul Latif, Datuk Fazwinna dan Azmil Khuzaid di atas kerjasama dan kepercayaan yang diberikan.

Sementara itu, Pengarah UMK-TRace Dr Muhammad Firdaus memaklumkan, kriteria utama bagi kategori Star of Outstanding adalah projek-projek Pendidikan Warisan Dunia yang dijalankan mestilah memiliki elemen contoh yang boleh dipelajari dan diaplikasi di seluruh dunia bagi menjaga warisan-warisan dunia.

Tiga kategori anugerah iaitu Star of Outstanding (anugerah tertinggi), Star of Discovery dan Star of Future.

Program WHV2022 merupakan satu daripada lapan projek di Asia dan satu-satunya mewakili negara yang dilaksanakan oleh UMK-TRaCe dalam usaha  menyokong Perbadanan Taman Negeri Perak bagi Hutan Simpan Royal Belum di Pulau Banding, Gerik.

Penganjuran WHV 2022 yang diketuai Prof Madya Ts Dr Mohamad Faiz, Dr Muhammad Firdaus dan Dr Noor Jannatun Naim Jamali ini turut mendapat sokongan Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Razli Che Razak.


(FOTO UMK)

Media Baharu