KUALA LUMPUR, 28 Februari-Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa pada Ahad (2 Mac 2025), demikian menurut Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
Ketika mengumumkannya, beliau berkata, tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari tersebut bagi menurut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Pengumuman ringkas itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebentar tadi.
Sebelum ini, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui satu kenyataan menetapkan tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan permulaan puasa untuk umat Islam di Malaysia ialah hari ini, 28 Februari, Jumaat bersamaan 29 Syaaban 1446 Hijriah.
Jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan melihat anak bulan Ramadan pada petang tadi di 29 lokasi penting di seluruh negara.
Antaranya di Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian, Johor; dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di Melaka.
Turut menjadi tempat cerapan anak bulan ialah Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan; serta Bukit Melawati, Kuala Selangor, Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.
Di Perak, lokasinya di Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru di Manjung; Pulau Pinang (Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh) serta Kedah (Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar).
Lokasi lain ialah di Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Mukim Merang, Setiu di Terengganu; serta Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampong Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai; dan Menara Bangunan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC), Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Bharu di Kelantan.
Selain itu, Pusat Falak Miri; Teluk Bandung, Kuching; dan Bintulu di Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan di Sabah; dan di Pahang melibatkan Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands serta Menara Kuantan 188 juga menjadi lokasi melihat anak bulan.
Turut terlibat adalah di Menara Universiti Malaysia Sabah; Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya; dan Menara Pandang, Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.