UiTM himpun pemuzik empat negara dalam ‘Echoes of Tradition Recital’

Tanawat Naruepai (Komposer Thailand) bersama Grace Lee (Pemain Biola dari Borneo Ensemble) dan Ahmad Khairul Rafie Mohd Yazid (Pemain Cello dari Malaysia)/Foto UiTM

SHAH ALAM, 6 April– Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh jenamanya di persada seni antarabangsa menerusi penganjuran Echoes of Tradition Recital, sebuah persembahan muzik eksperimental rentas budaya yang menghimpunkan barisan artis dan penyelidik dari Asia serta Eropah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Persembahan meneroka sastera rakyat dan landskap bunyi alam yang diolah semula menerusi pendekatan kontemporari.
  • Program menyatukan komposer dan pemuzik profesional dari Malaysia, Austria, Thailand dan Jepun di bawah Geran Penyelidikan Artistik ASEA-UNINET.
  • Inisiatif mengukuhkan kerjasama antarabangsa, diplomasi budaya dan peluang interaksi penyelidik serta pelajar dengan amalan seni global.

Konsert yang berlangsung di Dewan Seri Budiman, UiTM Shah Alam itu mengetengahkan penerokaan unik terhadap sastera rakyat dan landskap bunyi alam, yang diolah semula menerusi pendekatan kontemporari.

Inisiatif yang diterajui Pensyarah Kanan Fakulti Muzik, Dr. Ainolnaim Azizol itu berjaya menyatukan komposer dan pemuzik profesional dari Malaysia, Austria, Thailand dan Jepun.

Ia merupakan sebahagian daripada Geran Penyelidikan Artistik ASEA-UNINET 2025-2026 yang diketuai oleh University of Music and Performing Arts Vienna.

Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UiTM, Prof. Dr. Yamin Yasin, berkata program tersebut mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuh kolaborasi antarabangsa serta inovasi kreatif dalam bidang seni.

“Resital ini bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi merupakan manifestasi penyelidikan artistik di mana bunyi menjadi medium penyampaian budaya dan proses mendengar menjadi ruang untuk hubungan, refleksi serta pengalaman bersama,” katanya.

Menurut beliau, platform berkenaan membuka ruang kepada pelajar dan penyelidik untuk berinteraksi dengan amalan serta perspektif antarabangsa dalam bidang seni dan muzik.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran komuniti diplomatik antarabangsa, termasuk Duta Besar Austria, Sepanyol, Belgium dan Jepun, serta wakil kedutaan dari Thailand dan Hungary, yang mencerminkan pengiktirafan global terhadap inisiatif seni yang dilaksanakan.

Duta Besar Sepanyol ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Jose Luis Pardo Cuerdo bersama Profesor Dr. Yamin Yasin (Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UiTM), Profesor Datin Dr. Norazida Mohamed (Penolong Naib Canselor Antarabangsa UiTM), Profesor Madya Dr Wan Fairos Wan Yaacob (Pengarah Perhubungan Kerjasama Strategik UiTM) dan Profesor Dr. Tazul Izan Tajuddin (Dekan Fakulti Muzik UiTM)/Foto UiTM

Turut hadir ialah barisan pengurusan tertinggi universiti termasuk Penolong Naib Canselor (Antarabangsa), Prof. Datin Dr. Norazida Mohamed serta Dekan Fakulti Muzik, Prof. Dr. Tazul Izan Tajuddin.

Penganjuran program tersebut turut melibatkan kerjasama strategik dengan Universiti Malaysia Sabah, City University (Malaysia), Chiang Mai University serta University of Music and Performing Arts Vienna, dengan sokongan daripada UiTM Global serta Kedutaan Austria dan Sepanyol di Malaysia.

Kejayaan “Echoes of Tradition Recital” membuktikan komitmen berterusan UiTM dalam memperkasa diplomasi budaya, penyelidikan artistik dan pertukaran silang budaya, sekali gus mengangkat muzik sebagai medium universal dalam memperkukuh hubungan antarabangsa.