BANDAR ENSTEK, 14 Mac - Pembangunan karakter seseorang pelajar amat dititikberatkan Kementerian Pendidikan (KPM), bagi melahirkan golongan yang mempunyai sikap menghormati antara satu sama lain dan bijaksana.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata peluang perlu diberikan kepada anak-anak yang mempunyai masalah sikap agar mereka memiliki masa depan yang cerah dan terjamin.
"Intervensi ini penting sebab itu di peringkat KPM, kita juga telah memperkukuhkan bahagian kaunseling kita, termasuk juga memberikan banyak ruang autonomi kepada guru untuk menguruskan berkaitan dengan anak-anak ini.
"Termasuk berkenaan sekiranya ada isu-isu disiplin, vandalisme misalnya, kita berikan kuasa kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk mengambil tindakan supaya ruang lingkup itu tidak disensasikan, sebab anak-anak kita ini apabila berhadapan dengan isu sikap, kita harus ambil pendekatan lindung terlebih dahulu dan kemudian ambil sikap untuk membuat intervensi-intervensi supaya mereka dapat kembali dan mendidik proses mereka ini menjadi manusia yang lebih baik," kata Fadhlina di sini.
(Fadhlina ketika ditemui pemberita selepas melancarkan
Seminar Membangunkan Malaysia Madani di Institut Aminuddin Baki, di sini)
Komuniti ibu bapa, dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang berkaitan turut perlu bersama dalam konteks melihat kepada pendidikan karekter anak-anak supaya dapat membantu pihak kerajaan dalam melaksanakan inisiatif ini.
Dalam pada itu, program seperti Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC) dilaksanakan kerajaan bagi melahirkan generasi yang berakhlak mulia dan sebagai aset kepada pembangunan negara.