Tukang masak kenduri 40 tahun terlantar strok, YADIM Pahang hulur bantuan

FOTO RTM

JERANTUT, 23 Februari – Seorang tukang masak yang menjadi tulang belakang setiap majlis kenduri di Kota Gelanggi 4 di sini selama lebih 40 tahun, kini terlantar selepas diserang strok sejak Ogos lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Haron Mansor, tukang masak kenduri berpengalaman 40 tahun, kini terlantar selepas diserang strok sejak Ogos lalu.
  • YADIM Pahang melalui program Ziarah Kasih YADIM Peduli menziarahi dan memberikan bantuan kewangan serta sokongan sosial.
  • Bantuan ditujukan untuk meringankan kos pemulihan, perubatan dan pembelian lampin pakai buang bagi keperluan harian Haron.

Keadaan kesihatan Haron Mansor, 71 tahun, mengundang simpati Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Pahang yang tampil menziarahi beliau di kediamannya menerusi program Ziarah Kasih YADIM Peduli.

Pengarah YADIM Pahang, Alwi Muda berkata, Haron yang juga siak masjid kampung kini tidak lagi mampu bergerak dan bangun seperti dahulu serta terpaksa bergantung kepada lampin pakai buang untuk keperluan harian.

Menurutnya, program berkenaan bertujuan menyantuni masyarakat serta memperkasa dakwah melalui khidmat sosial, di samping membantu golongan yang memerlukan.

“Kerana itu program Ziarah Kasih YADIM Peduli ini kami datang ke sini untuk sama-sama berikan sumbangan dalam bentuk kewangan kepada Pak Haron. Mudah-mudahan dengan sumbangan tersebut boleh meringankan beban keluarga untuk menguruskan pemulihan, perubatan Pak Haron dan juga membeli lampin pakai buang yang digunakan beliau,” katanya.

Dalam kunjungan itu, YADIM Pahang turut menyampaikan bantuan kewangan sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib warga emas berkenaan.

Sementara itu, anaknya, Mohd Razi Haron berkata, bapanya diserang strok secara tiba-tiba ketika berada di Kuala Lumpur pada Ogos lalu.

“Sebelum kena strok, ayah ada pergi Kuala Lumpur ke rumah adiknya dan sempat memasak di sana. Tiba-tiba beliau diserang darah tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana bapanya masih mampu menelan makanan dan berada dalam keadaan stabil walaupun memerlukan penjagaan rapi setiap hari.

Alwi Muda (kiri) bersama Mohd Razi