(PATI warga Myanmar yang ditahan dalam feri penumpang dari Langkawi ke Kuala Kedah di Alor Setar)
KUALA KEDAH, 30 Mac- Empat lelaki dan tiga wanita disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan dalam satu pemeriksaan yang dilakukan ke atas sebuah feri penumpang di kedudukan 1.08 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah pada pukul 9.45 pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, hasil maklumat risikan, mereka didapati menaiki feri penumpang terbabit dalam perjalanan dari Pulau Langkawi menuju ke Kuala Kedah tanpa membawa dokumen pengenalan diri yang sah.
Anggota penguat kuasa mendapati mereka hanya memiliki salinan surat permohonan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang meragukan berikutan permohonan pemilikan kad terbabit telah dihentikan.
Kesemua PATI terbabit disyaki telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih dari RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali dan sebat tidak lebih dari enam kali sebatan, jika disabit kesalahan.
Mereka dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.
(PATI yang ditahan akan disiasat Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002))