fb fb fb fb fb

Ramadan: Arab Saudi sumbang kurma, Al-Quran dan tajaan majlis berbuka puasa

PUTRAJAYA, 30 Mac- Penjaga Dua Tanah Haram, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud berkenan menyumbang 35 tan kurma dan 17,000 naskhah Al-Quran kepada umat Islam di Malaysia sempena bulan Ramadan.

Selain itu, kerajaan Arab Saudi turut menaja majlis berbuka puasa nasi mandy ayam untuk 15,000 orang sempena bulan mulia ini.
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, Malaysia merasa bertuah kerana sentiasa dipilih oleh kerajaan Arab Saudi untuk menjadi sebahagian daripada program ini.
 
"Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Penjaga Dua Tanah Haram Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud dan sentiasa mendoakan agar baginda sentiasa diberikan  kesihatan berpanjangan serta keberkatan daripada Allah.

"Saya sentiasa mendoakan supaya hubungan akrab antara kedua-dua negara, Malaysia dan Arab Saudi, akan terus diperkukuh silaturahim seperti yang dikehendaki oleh agama," katanya.


(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar)

Beliau ditemui selepas menerima simbolik penyerahan hadiah tersebut di Kompleks Islam Putrajaya yang disampaikan oleh Timbalan Duta Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur, Dr. Saleh Ali Ismail Bedaiwi.
 
Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Pejabat Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi di Luar Negara merangkap Pemangku Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur Syaikh Abdul Wahab Abdullah Al-Qahtan.

Malaysia telah menerima sumbangan di bawah program hadiah berkenaan sejak lebih 20 tahun lepas.

Media Baharu