(Anwar Ibrahim)
HAINAN, 30 Mac- Persaingan teknologi harus menjadi agenda utama pada mesyuarat peringkat tertinggi dalam forum antarabangsa, selain isu keselamatan dan ekonomi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia selari dengan persaingan semasa yang tertumpu kepada teknologi canggih seperti yang dipamerkan industri semikonduktor.
Jelas beliau, meski wujud persaingan, namun perlu ada ruang untuk berkolaborasi.
"Menyedari setiap negara perlu memelihara hak cipta intelektual dan cuba berada di hadapan, beberapa langkah berwaspada atau syarat harus diwujudkan.
"Ia supaya persaingan itu tidak membawa kepada perpecahan dalam dunia teknologi yang akan membawa kepada peningkatan kos dan menghalang kemajuan," katanya ketika ucaptama sesi pembukaan pleno Forum Boao untuk Asia (BFA) 2023 di sini yang turut dihadiri Perdana Menteri China Li Qiang.
Tambah Anwar, Malaysia telah memperkenalkan konsep Malaysia Madani sebagai wadah aspirasi negara melangkah ke depan berdasarkan acuan sendiri untuk melahirkan masyarakat madani selari nilai ketamadunan.
Falsafah nasional itu berpaksikan enam nilai iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan insan.
(Anwar Ibrahim ketika ucaptama sesi pembukaan Forum Boao untuk Asia (BFA) 2023
di Hainan hari ini)