KUALA LUMPUR, 30 Mac - Polis Diraja Malaysia (PDRM) proaktif menangani isu kesihatan mental anggotanya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata beberapa kajian berkaitan isu kesihatan mental warganya telah dijadikan rujukan utama dalam merangka tindakan pencegahan yang perlu diambil.
Jelasnya, pada tahun ini Urusetia Penyelidikan dan Pembangunan PDRM sedang bekerjasama dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk menjalankan kajian saringan kesihatan mental dan kesejahteraan psikologi polis bagi tempoh Januari sehingga Jun ini.
Antara faktor utama anggota polis mengalami gangguan kesihatan mental ialah tekanan, status kesihatan dan persekitaran.
(Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika menjawab pertanyaanÂ
di Dewan Rakyat hari ini)
"Faktor tekanan tu termasuk berpunca daripada kecewa dalam perhubungan, ada masalah penyesuaian di penempatan baru, gagal mengawal daya tindak diri, kesunyian akibat berjauhan dengan keluarga dan masalah perkahwinan. Semua faktor ini menyumbang kepada tekanan, jadi oleh hal yang demikian kajian ini menemui menyumbang kepada 'stress', murung dan kebimbangan ini, maka keseluruhan langkah yang dibuat oleh polis adalah mengkaji dari semasa ke semasa modul latihan, memperhebatkan lagi program-program sedia ada khusus untuk 'address' faktor-faktor tadi secara 'precise' dan secara 'granular' bukan sekadar rambang atau pun tangkap muat," kata beliau ketika menjawab pertanyaan wakil Sri Gading, Datuk Dr. Shahruddin Md Salleh di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Tambah Saifuddin, trend kecenderungan di kalangan petugas polis ke arah membunuh diri dikesan sejak tahun 2015.
Kajian penerokaan bunuh diri dalam kalangan anggota polis telah mencatatkan tujuh kes pada tahun 2014 sehingga 2018.