fb fb fb fb fb

Trump mengaku tidak bersalah atas tuduhan konspirasi pilihan raya

(Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump/ AFP)

WASHINGTON, 4 Ogos- Bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengetuai konspirasi jenayah dalam cubaan membatalkan keputusan pilihan raya pada 2020.

Ahli Republikan berusia 77 tahun itu mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dikenakan terhadap beliau di hadapan Majistret Moxila Upadhyaya.

Perbicaraan itu berlangsung selama 30 minit di Mahkamah Washington.

Pertuduhan itu yang paling serius daripada tiga pertuduhan konspirasi yang dikenakan terhadap Trump ketika beliau berkempen untuk kembali semula ke White House. Satu lagi pertuduhan melibatkan kes menghalang suara rakyat.


(Trump tiba di Lapangan Terbang Nasional Ronald Reagan Washington,
selepas dihadapkan ke mahkamah/AFP)

Bercakap kepada pemberita di lapangan terbang Reagan National sebelum meninggalkan Washington dengan pesawat peribadinya, Trump berkata dakwaan yang dikenakan ke atasnya adalah "penganiayaan terhadap musuh politik."

"Ini adalah hari yang sangat menyedihkan bagi Amerika," katanya.

"Ini adalah penganiayaan terhadap orang yang mendahului dengan jumlah yang sangat besar dalam pemilihan utama Republikan.

"Jadi jika anda tidak dapat mengalahkannya, anda menganiayanya atau anda mendakwanya. Kita tidak boleh biarkan ini berlaku di Amerika", katanya.

Hakim menetapkan perbicaraan seterusnya pada 28 Ogos di hadapan Hakim Mahkamah Daerah AS Tanya Chutkan, yang akan mengetuai perbicaraan tersebut.

"Saya memberi jaminan kepada semua orang akan ada proses yang adil dan perbicaraan yang adil," kata Upadhyaya.-AFP

Media Baharu