KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi stesen radio berbahasa Inggeris, TRAXXfm, memperkenalkan segmen baharu yang dikenali sebagai ‘TRAXX Trade Talk’ (TTT), memberi fokus kepada isu ekonomi semasa, perniagaan, dan trend pasaran terkini.
Timbalan Pengarah Seksyen Berita Radio RTM Azmah Abdul Wahab, berkata kandungan segmen yang padat dan mudah difahami, diharap dapat meluaskan capaian pendengar melalui pendekatan lebih santai, sekali gus menjadikan TRAXXfm sebagai sumber rujukan ekonomi dan perniagaan.
" RTM dah dikenali satu penyampaian dasar kerajaan dan sebagainya berbentuk formal. Tapi kita cuba menerusi TTT ni dan program lain di TRAXX untuk meluaskan pendengar atau pengikut RTM sendirilah ke arah komoditi perniagaan.
" Komoditi perniagaan ni boleh menjadikan RTM sebagai tempat untuk turn your business around . Jadi gunakanlah platform RTM ini bukan sahaja untuk menyampaikan, berkongsi mengenai perniagaan sendiri , malah boleh menjadikan satu sumber rujukan rasmi untuk perniagaan di kembangkan lah seterusnya", Katanya demikian ketika menjadi tetamu dalam Rancangan Selamat Pagi Malaysia di sini.
Segmen TRAXX Trade Talk mula bersiaran pada 2 September lalu, setiap Isnin hingga Jumaat, pada pukul 7.45 pagi dan 6.45 petang di TRAXXfm.