BACHOK, 9 Oktober - Program ‘Kutip Sampah Sambil Riadah’ (KUDAH) di Pantai Senok menerima sambutan menggalakkan daripada 250 sukarelawan yang sama-sama turun padang membersihkan pesisir pantai sepanjang hampir 500 meter.
Program anjuran Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) ini merupakan inisiatif untuk memupuk kesedaran awam terhadap kepentingan menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
KUDAH disertai sukarelawan terdiri daripada pelajar, warga kerja NRES serta kakitangan Kelantanfm.
Salah seorang peserta, Nur Athirah Suhaini menegaskan keperluan menjaga kebersihan pantai demi kemaslahatan bersama.
"Pantai adalah anugerah Allah S.W.T. Kita perlu menjaga kebersihannya bukan untuk diri sendiri malah untuk semua," ujarnya.
Shaqifah Maswita pula berharap agar lebih banyak program sedemikian dianjurkan.
"Program ini perlu diperbanyak lagi kerana kita boleh mengeratkan hubungan selain sama-sama ada rasa tanggungjawab untuk menjaga kebersihan,"kongsi beliau.
Syamimi Azman pula menyambut baik program KUDAH yang disifatkannya sebagai langkah yang boleh memupuk kesedaran kepada masyarakat supaya tidak membuang sampah merata-rata.
Program berkenaan telah disempurnakan Pengerusi PUSPANITA NRES, Datin Duangrat Visai.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam), NRES, Datuk Nor Yahati Awang dan Ketua Pengarah METMalaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip.