KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini berkenan menerima persembahan cadangan Belanjawan 2026 daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Istana Bukit Tunku, di sini.
Cadangan Belanjawan 2026 itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat esok (10 Okt) sebagai Belanjawan Keempat di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
Sementara itu, hantaran Datuk Seri Anwar di Facebook, pembentangan Belanjawan 2026 merupakan satu ikhtiar berterusan untuk memperkukuh ekonomi rakyat, memacu pertumbuhan negara dan memastikan kemakmuran dapat dirasai secara adil serta saksama.
“Alhamdulillah, pagi tadi saya telah mempersembahkan dokumen cadangan Belanjawan 2026 kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
"Insya-Allah, esok saya akan membentangkan Belanjawan Keempat Kerajaan MADANI, satu ikhtiar berterusan untuk memperkukuh ekonomi rakyat, memacu pertumbuhan negara dan memastikan kemakmuran dapat dirasai secara adil serta saksama,” katanya.
Perdana Menteri dijadual membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Rakyat pada 4 petang esok.
Ahli-ahli Parlimen akan membahaskan rang undang-undang tersebut selama lapan hari di Peringkat Dasar sebelum sesi penggulungan oleh kementerian pada 29 Oktober hingga 4 November.
Manakala untuk kelulusan Dewan Raktyat, perbahasan Belanjawan 2026 akan dilakukan dari 5 hingga 27 November.