
KUALA LUMPUR, 4 Sept – Transformasi digital dalam sistem kesihatan bukan sekadar menukar rekod pesakit daripada bentuk fizikal kepada digital, sebaliknya melibatkan penggunaan teknologi bagi memperluas akses serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan kesihatan.
- Teleperubatan membolehkan pemantauan pesakit dari rumah tanpa perlu hadir ke hospital.
- Penggunaan AI mempercepat analisis perubatan dan membantu doktor membuat keputusan dengan lebih pantas.
- Cabaran integrasi sistem, perbezaan platform serta privasi dan keselamatan data perlu diselesaikan untuk transformasi berkesan.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Matematik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Mohamad Yusuf Darus, berkata transformasi berkenaan turut merangkumi teleperubatan yang membolehkan sebahagian pesakit dipantau dari rumah tanpa perlu hadir ke hospital.
“Ia bukan sekadar proses menukar fail atau rekod dalam bentuk kertas kepada sistem berkomputer. Ada banyak aspek yang perlu kita pertimbangkan. Kita perlu melihatnya secara holistik, termasuk memikirkan bagaimana untuk menyediakan satu bentuk perkhidmatan yang mungkin boleh kita kenali sebagai teleperubatan,” katanya.
Beliau berkata penggunaan kecerdasan buatan (AI) turut berpotensi membantu mempercepat proses analisis dan membolehkan doktor membuat keputusan dengan lebih pantas.
“Dengan menggunakan AI yang kita latih supaya menjadi lebih mahir dan cekap, mungkin dalam masa beberapa saat sahaja, doktor boleh mendapat keputusan tentang apa masalah yang dihadapi oleh pesakit,” katanya kepada pemberita RTM.
Mengulas sejauh mana Malaysia berada di landasan yang tepat dalam melaksanakan transformasi digital sistem kesihatan, beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai pelan hala tuju bagi tempoh 2026 hingga 2030, selain pelaksanaan Rekod Perubatan Elektronik secara berfasa.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan transformasi berkenaan masih berdepan beberapa cabaran, termasuk perbezaan sistem antara hospital, kesukaran menyepadukan data serta aspek privasi dan keselamatan maklumat pesakit.
“Sebagai contoh, hospital A mungkin menggunakan satu sistem, hospital B pula menggunakan sistem yang lain. Data mungkin disimpan dalam platform yang berbeza-beza. Jadi, macam mana kita nak mentafsir ataupun nak mengintegrasikan data daripada hospital-hospital yang berbeza itu, sebenarnya menjadi satu masalah juga,” katanya.
Beliau berkata, seiring perkembangan tersebut penyelarasan sistem serta pengukuhan keselamatan data perlu diberi perhatian bagi memastikan transformasi digital sistem kesihatan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.