fb fb fb fb fb

Tragedi bot karam : Bot baru dibaik pulih, sedang jalani uji pandu

Foto RTM

PELABUHAN KLANG, 7 Jun - Bot yang karam bot karam di Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang dipercayai sedang menjalani uji pandu selepas dibaik pulih.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, berdasarkan keterangan mangsa yang selamat, insiden berlaku ketika kali kedua bot tersebut membuat pusingan ujian.

“Bot ini baru dibaiki dan mereka hanya buat ‘test drive’. Pada pusingan pertama hanya dua penumpang yang naik. Malangnya pada pusingan kedua mereka menambah empat lagi penumpang, bot itu terbalik dan karam,” jelas beliau dalam sidang media hari ini.

Menurut ACP Vijaya, siasatan awal juga mendapati, tiada penumpang memakai jaket keselamatan ketika kejadian berlaku.

“Kesemua mangsa tidak memakai jaket keselamatan. Keselamatan di laut perlu diberi keutamaan, terutama dalam operasi melibatkan bot penumpang,” katanya.

Kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana membawa bot dalam keadaan cuai.

Beliau turut memaklumkan bahawa proses mengapungkan bot telah dilakukan bagi memastikan tiada mangsa yang terperangkap di dalam kabin.

Bot kini dibawa ke pangkalan marin untuk siasatan lanjut termasuk aspek teknikal.

Tragedi berkenaan telah meragut tiga nyawa, sementara dua lagi masih hilang dan sedang giat dikesan oleh pasukan penyelamat.

Setakat ini, operasi mencari dua lagi mangsa masih diteruskan dengan tumpuan di permukaan air memandangkan arus laut yang deras menyukarkan pencarian di dasar.

Operasi SAR yang masuk hari kedua hari ini, akan bersambung esok jika mangsa belum ditemui menjelang jam 7.00 malam ini.

Bedah siasat terhadap tiga mangsa yang terkorban telah selesai dan jenazah diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM