fb fb fb fb fb

Inovasi pengurangan risiko bencana Malaysia diiktiraf global

Foto Facebook Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 7 Jun - Pelaksanaan terbaik Malaysia dalam pengurangan risiko bencana kini diiktiraf di peringkat global.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran Facebooknya, penyertaan aktif dan berkualiti tinggi oleh delegasi Malaysia ke Platform Global untuk Pengurangan Risiko Bencana (GPDRR) di Geneva mencerminkan kesungguhan negara dalam memperkukuh kesiapsiagaan, ketahanan iklim dan keselamatan komuniti.

Jelas beliau, dua pakar telah mewakili negara untuk pembentangan inovasi tersebut iaitu Ketua Penolong Pengarah di NADMA, Siti Mariam Abu dan Gs. Dr. Nurfashareena Muhamad dari SEADPRI-UKM.

"Mereka telah melalui proses saringan yang ketat oleh penganjur di mana hanya pembentang terpilih dari seluruh dunia diberi peluang untuk mengetengahkan inovasi dan amalan terbaik dalam pengurangan risiko bencana,'" ujarnya.

Pembentangan wakil NADMA menekankan pelaksanaan Dasar DRR Negara 2030, pelaksanaan program Community-Based Disaster Risk Management (CBDRM) serta kepentingan sains, teknologi dan pendidikan dalam memperkasa kesiapsiagaan masyarakat.

Manakala Gs. Dr. Nurfashareena pula telah mempersembahkan sistem inovatif Kuala Lumpur Multi-Hazard Platform (KL-MHP), iaitu sebuah sistem ramalan bahaya berasaskan data.

"Sistem ini membekalkan maklumat meteorologi, geofizikal dan atmosfera secara terperinci bagi memperkukuh daya tahan bandar raya Kuala Lumpur, " tambah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid.

Projek tersebut adalah hasil kerjasama strategik Malaysia–United Kingdom di bawah pembiayaan Newton-Ungku Omar Fund.

"Dua wanita cemerlang negara ini telah mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa menerusi sebuah platform ekslusif, sesi Ignite Stage GPDRR 2025," katanya lagi.

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM