PUTRAJAYA, 7 Jun- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan penularan satu kenyataan bertarikh 5 Jun yang dikaitkan dengan pihak JIM berhubung garis panduan pengagihan daging korban di masjid bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JIM, Ismail Mokhtar menegaskan kenyataan itu tidak benar dan tidak pernah dikeluarkan oleh pihaknya.
"Untuk makluman, kenyataan tersebut adalah tidak benar dan tidak pernah dikeluarkan oleh JIM.
"Pihak kami tidak mengeluarkan sebarang arahan atau panduan sebagaimana yang dinyatakan dalam kenyataan berkenaan.
"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa merujuk kepada saluran rasmi jabatan untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, JIM memandang serius penyebaran maklumat palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan awam.
Sebarang penggunaan lambang rasmi dan nama jabatan tanpa kebenaran adalah satu kesalahan dan boleh diambil tindakan undang-undang.
"Jabatan ini amat menghargai kerjasama semua pihak dalam menyalurkan dan berkongsi maklumat yang sahih.
"Pihak JIM juga menyeru orang ramai agar berhati-hati dan bertanggungjawab dalam menyebarkan sebarang maklumat yang belum dipastikan kesahihannya." katanya.