KOTA BHARU, 29 September - Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan berkaitan kes dadah Selasa lalu, kini ditempatkan di pejabat Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk sementara waktu sehingga siasatan kes selesai.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata TPR berkenaan tidak dibenarkan menjalankan sebarang tugasan khusus.
"Siasatan masih berterusan, belum ada sebarang keputusan, kita kena tunggu keputusan, contohnya air kencing dan juga pemilikan yang dikatakan dadah tersebut. la pending, siasatan selesai kita telah telah tempatkan di Jabatan pool", katanya.
Beliau di temui media selepas Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan sempena ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke-56 di Istana Balai Besar, Kota Bharu.
Sementara itu, Tan Sri Mohd Dusuki memaklumkan pihaknya masih menunggu maklum balas Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berhubung notis tunjuk sebab yang dikeluarkan terhadap beliau berhubung kenyataannya berkait inkues kes kematian arwah Zara Qairina Mahathir.
Menurutnya, notis terbabit sudah diserahkan kepada bekas Ketua Menteri Sabah itu minggu lalu.
"Setakat hari ini saya belum menerima apa-apa jawapan kepada tunjuk sebab tersebut. Kita bagi untuk membolehkan beliau menjawab, jadi tidaklah kata selepas ini tidak jawab, kita terus kita ambil tindakan, maksudnya tempohnya itu masih terbuka", ujarnya.
Media melaporkan Mahkamah Koroner mengeluarkan notis tunjuk sebab terhadap Datuk Seri Mohd Shafie, kerana didakwa menghina prosiding inkues kes kematian Zara Qairina.
Sebelum ini, tular rakaman video dalam media sosial yang memaparkan Datuk Seri Mohd Shafie antara lain didakwa menyebut bahawa kematian Zara Qairina adalah kes pembunuhan.