fb fb fb fb fb

TPM Zahid zahir takziah pemergian Palanivel: "Sosok tenang, dihormati ramai"

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama balu bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar mendiang Datuk Seri G. Palanivel iaitu Datin Seri P. Kanagam pada upacara penghormatan terakhir kepada bekas Presiden MIC itu kediamannya di Jalan Bangkung Bangsar hari ini / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Jun- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Datuk Seri G. Palanivel, bekas Presiden MIC yang meninggal dunia semalam.

Datuk Seri G. Palanivel, 76, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur pada pukul 8 pagi semalam.

Beliau merupakan Presiden MIC kelapan dan pernah berkhidmat sebagai Menteri serta Ahli Parlimen Cameron Highlands.

“Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga beliau, Datuk Seri G. Palanivel. Beliau adalah sahabat saya, rakan dalam kabinet ketika itu. Sosoknya sangat tenang, mudah berurusan dan amat dihormati.

"Sumbangan beliau kepada rakyat Malaysia khususnya masyarakat India amat besar dan akan terus dikenang,” katanya kepada media selepas hadir memberikan penghormatan terakhir di kediaman mendiang Kuala Lumpur sekitar pukul 5:43 petang.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Mendiang pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands, manakala Datuk Seri Wan Rosdy ketika itu merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai dan Exco Kerajaan Negeri Pahang.

Mereka berdua pernah bekerjasama rapat dalam pembangunan kawasan dan kebajikan rakyat di kawasan tersebut.

Palanivel memulakan kerjaya sebagai Pegawai Penyelidik dalam Projek Lembah Bujang di Muzium Negara pada 1973, sebelum menyertai Bernama sebagai wartawan kanan pada tahun 1977.

Beliau menyertai MIC pada 1970-an dan menjadi setiausaha akhbar kepada Presiden MIC ketika itu, mendiang Tun S. Samy Vellu pada awal 1990-an, satu detik penting yang memperkukuh kerjaya politiknya.

Dilahirkan pada 1 Mac 1949 di Pulau Pinang, Palanivel dikenang bukan hanya atas jawatan yang disandang, tetapi juga sikap rendah diri serta komitmennya dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE