PUTATAN, 18 Jun- Perbincangan awal antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sabah akan datang telah pun dimulakan dan dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara itu akan diputuskan secara muktamad sebelum DUN dibubarkan.
Katanya, sebagai Ketua Menteri, beliau akan membuat keputusan berkaitan pembubaran DUN, namun memberi bayangan bahawa pilihan raya negeri akan diadakan dalam tempoh terdekat.
“Perbincangan awal sudah ada, jadi kita akan muktamadkan dalam masa terdekat sebelum bubar,” katanya.
“Sebagai Ketua Menteri saya akan tentukan nanti, tapi jelas, tidak berapa lama lagi kita akan mengadakan PRU sama ada kita suka awal atau lambat, ia mesti diadakan.
“Jadi, tunggu… kita akan serah balik kepada rakyat untuk memutuskan siapa kerajaan yang mereka mahu,” tambahnya.