fb fb fb fb fb

Malaysia perlu lebih pantas pacu pertumbuhan ekonomi

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua, kanan) beramah mesra pada Majlis Sesi Bersama Pesara Guru 2025 di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin Putrajaya hari ini. Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 18 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu negara terus memacu pertumbuhan ekonomi yang pesat termasuk penggunaan teknologi baharu, pengadaptasian kecerdasan buatan, serta transisi tenaga baharu, agar negara tidak ketinggalan dengan arus pemodenan.

Pada masa sama, Datuk Seri Anwar menegaskan penting juga memastikan nilai, budaya dan bahasa Melayu kekal dipertahankan kerana ia merupakan jati diri sebagai anak Malaysia.

"Kita kan anak Malaysia, kita kan dari perkembangan budaya dan tamadun Melayu dan Islam yang gagah. Jadi, jati diri itu mesti dipertahankan.

"Menggapai di langit dan mengakar ke bumi. Mengakar ke bumi antara asas kekuatannya adalah penguasaan bahasa Melayu yang baik sebagai bahasa ilmu dan budaya dan tamadun yang mempunyai nilai dan etika," jelasnya ketika menyempurnakan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI bertemakan "Guru Pemangkin Patriotisme Negara' di sini.

Komited memartabatkan Bahasa Kebangsaan, Datuk Seri Anwar memaklumkan inisiatif Hadiah Bahasa yang pernah diusahakannya pada tahun 1998, kembali dilancarkan pada Mac lepas.

"Bila 1998 berakhir, habislah cerita Hadiah Bahasa itu. Alhamdulillah bila jadi Perdana Menteri saya telefon Ketua Pengurus Public Bank dulu pernah adakan boleh tak kita hidupkan? Tentulah jawapannya, ya. Jadi baru-baru kita luncurkan, lagi hebat," ujar beliau.

Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI bertemakan "Guru Pemangkin Patriotisme Negara' yang dihadiri lebih 1,000 para pendidik bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan warga pendidik, selain menjelaskan dasar-dasar kerajaan.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI