LONDON, 2 Jun - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, tiba di London malam tadi, menandakan permulaan kepada rangka lawatan kerja rasmi selama empat hari ke United Kingdom.
Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Heathrow kira-kira pukul 8.30 malam waktu tempatan disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Zakri Jaafar bersama pegawai-pegawai kanan kedutaan dan agensi kerajaan berkaitan.
Menurut Datuk Zakri, lawatan kerja ini membawa aspirasi besar kerajaan dalam memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia-United Kingdom, serta memperluas kolaborasi strategik khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Antara fokus utama lawatan termasuk pertemuan dengan institusi pendidikan terkemuka seperti University College London serta mesyuarat meja bulat bersama pemain industri francais dan agensi pelancongan.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid juga dijadual menyampaikan syarahan umum mengenai hala tuju TVET negara serta berinteraksi bersama pelajar-pelajar tajaan MARA di United Kingdom.
Tidak kurang penting, pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 turut berlangsung di London sebagai usaha memperkukuh diplomasi pelancongan serta menarik minat pelabur dan pelancong dari Eropah.