KUALA LUMPUR, 2 Jun - Gesaan Malaysia agar masyarakat antarabangsa bertindak tegas dan konsisten dalam menangani pembunuhan beramai-ramai di Gaza merupakan saranan yang tepat, terutama dalam peranan sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
Penganalisis Hubungan Antarabangsa UiTM, Dr Mazlan Che Soh berkata, masyarakat antarabangsa seharusnya tidak lagi beretorik atau sekadar bercakap, sebaliknya perlu mengambil langkah secara konkrit dan kolektif.
Menurutnya, walaupun usaha untuk mencapai gencatan senjata telah dilakukan tetapi ia tidak mencukupi kerana Israel sering mencabulinya.
“Saya melihat bawah aspek-aspek gencatan ekonomi atau desakan keras daripada masyarakat sivil dan NGO seluruh dunia serta tindakan-tindakan dari segi keadilan di mahkamah jenayah keadilan antarabangsa mungkin antara perkara yang mungkin dapat dilihat dan dilaksanakan.
"Saya sekali lagi amat menyokong penuh terhadap kenyataan yang disampaikan Perdana Menteri dan saya harap seluruh masyarakat antarabangsa bersama-sama dengan gesaan ini. Semoga kita berdoa keadilan dapat dicapai di bumi Palestin," katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan khasnya di Singapura menegaskan, skala kemusnahan secara terang-terangan, tidak mengendahkan norma kemanusiaan, dan kegagalan institusi global dalam menangani konflik tersebut, menuntut lebih daripada sekadar luahan simpati.
Perdana Menteri turut menggambarkan landskap global semasa dengan jumlah konflik bersenjata tertinggi sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua, sebagai satu detik yang serius dalam sejarah.