LONDON, 2 Jun – Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperkukuh jaringan pendidikan global menerusi kerjasama strategik dengan Universiti Cambridge, di United Kingdom (UK).
Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jaringan pendidikan itu bagi membuka lebih banyak peluang pengajian dan penyelidikan bertaraf dunia kepada pelajar tajaan MARA.
“Usaha ini bakal membolehkan pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) menyambung pengajian ke Universiti Cambridge melalui program akademik khas yang dirangka bersama,” katanya selepas mengadakan pertemuan strategik bersama pengurusan tertinggi dan profesor kanan terkemuka di Universiti Cambridge semalam.
Tambah beliau, delegasi Cambridge akan ke Malaysia bagi sesi libat urus bersama pengetua dan kaunselor MRSM, selain merangka laluan pendidikan yang sesuai buat pelajar cemerlang.
Perjanjian turut merangkumi kolaborasi dalam penyelidikan, pertukaran kepakaran akademik serta peluang pengajian peringkat sarjana dan kedoktoran (PhD) dalam bidang strategik seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi kuantum dan tenaga boleh baharu.
Dr. Asyraf turut memaklumkan bahawa Cambridge University’s Trust bersetuju untuk menaja pelajar MARA bagi pengajian pascasiswazah, sekali gus menjimatkan perbelanjaan sehingga RM5 juta kepada agensi tersebut.
“Ini selaras dengan strategi MARA untuk memperkasa anak bangsa di peringkat global dan memastikan akses kepada pendidikan terbaik dunia,” katanya.