
KUALA LUMPUR, 15 Januari – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghormati pendirian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh melepaskan jawatan sebagai Exco Melaka.
- Timbalan Perdana Menteri menghormati keputusan Dr. Muhamad Akmal melepaskan jawatan Exco Melaka.
- Langkah itu memberi ruang kepada beliau turun ke peringkat akar umbi dan menggerakkan jentera Pemuda UMNO.
- Keputusan dinyatakan sebagai hak peribadi dan dibuat atas pertimbangan sendiri, bukan akibat tekanan.
Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, keputusan itu memberi ruang lebih luas kepada Dr. Muhamad Akmal untuk turun ke peringkat akar umbi, khususnya bagi menggerakkan jentera parti di peringkat bahagian.
Menurutnya, langkah berkenaan membolehkan Dr. Muhamad Akmal memberi tumpuan kepada peranan dalam Pergerakan Pemuda UMNO.
“Mungkin dengan keputusan tersebut, beliau mempunyai masa dan ruang mencukupi untuk turun ke akar umbi, terutamanya ke bahagian-bahagian.
“Kita mempunyai 191 bahagian dan diharap ini menjadi peluang untuk beliau turun ke bawah bagi menggerakkan jentera Pemuda,” katanya di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.
Mengulas dakwaan tindakan itu bersifat emosional, beliau menegaskan keputusan berkenaan adalah hak peribadi Dr. Akmal dan dibuat atas pertimbangan sendiri, bukan disebabkan tekanan.
Terdahulu, Dr. Akmal mengumumkan peletakan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2025.