
KAPIT, 15 Januari – Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dipandunya terlibat dalam kemalangan jalan raya sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 kaki di Jalan Mujong Bukit Banyau, Kapit, pagi tadi.
- Lelaki berusia 60 tahun, Robin Lubang, disahkan maut di lokasi selepas kenderaan terjatuh ke dalam gaung.
- Bomba terima panggilan kecemasan pada 8.17 pagi dan jentera tiba sekitar 9.05 pagi selepas perjalanan 44 km.
- Operasi menyelamat sukar kerana jalan sempit dan tebing tinggi; pasukan guna kenderaan pacuan empat roda dan tali penyelamat.
- Mayat dibawa naik ke jalan utama, diserahkan kepada polis, dan operasi tamat sepenuhnya pada 11.02 pagi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan mangsa dikenali sebagai Robin Lubang, 60 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 8.17 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi pada 9.05 pagi, selepas menempuh perjalanan sejauh kira-kira 44 kilometer.
“Operasi menyelamat berdepan cabaran apabila jentera bomba tidak dapat menghampiri lokasi kejadian disebabkan keadaan jalan yang sempit serta tebing yang tinggi.
“Susulan itu, pasukan bomba menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk menghampiri kawasan kejadian sebelum turun ke dalam gaung menggunakan tali penyelamat bersama satu unit pengusung.
“Pemeriksaan awal oleh pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) mendapati mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayat dibawa naik ke jalan utama dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan tersebut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 11.02 pagi.