
KUALA LUMPUR, 15 Januari -Sebuah rumah yang dijadikan kedai dilaporkan terbakar dalam kejadian tengah hari tadi, di Pantai Dalam.
- Rumah sebiji yang dijadikan kedai terbakar di Pantai Dalam, mengakibatkan kira-kira 60 peratus kemusnahan.
- Tiada mangsa terlibat; pemilik berjaya menyelamatkan diri sebelum api merebak.
- Kebakaran dikawal sepenuhnya pada pukul 1.04 petang selepas panggilan kecemasan pada 12.42 tengah hari.
- Operasi melibatkan tiga jentera FRT, satu EMRS dan satu water tanker; punca kebakaran disiasat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai (BBP) Pantai, PKPgB Wan Mohd Shahrir Azizi Wan Said berkata, kebakaran tersebut mengakibatkan kemusnahan sekitar 60 peratus.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut apabila pemilik rumah yang merupakan sebuah rumah sebiji yang dijadikan sebagai kedai, berjaya menyelamatkan diri sebelum api merebak.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 1.04 petang,” katanya kepada pemberita, ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.
Wan Mohd Shahrir berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 12.42 tengah hari.
Susulan itu, BBP Pantai telah digerakkan ke lokasi kejadian dan dibantu oleh BBP Seputeh dan BBP Hang Tuah.
Operasi pemadaman melibatkan tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan satu water Tanker.
Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan.