
BINTULU, 15 Januari – Satu mayat tanpa pengenalan diri ditemukan terapung di Sungai Kemena, berhampiran kawasan Pasar Tamu Bintulu, pagi tadi.
- JBPM membantu Polis mengangkat mayat yang ditemui terapung di Sungai Kemena.
- BBP Bintulu terima panggilan kecemasan pada 10.36 pagi dan gerakkan anggota ke lokasi.
- Jentera bomba tiba pada 10.38 pagi, kira-kira dua kilometer dari balai.
- Mayat diserahkan kepada Polis dan Pasukan Polis Marin untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah membantu pihak Polis dalam operasi mengangkat mayat berkenaan.
Menurut kenyataan itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 10.36 pagi sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.
Jentera bomba tiba di lokasi pada pukul 10.38 pagi, kira-kira dua kilometer dari balai.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, mayat mangsa telah dibawa oleh Pasukan Polis Marin ke kawasan wharf sebelum diserahkan kepada pihak Polis yang berada di darat untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan sepenuhnya kepada pihak Polis bagi menjalankan siasatan lanjut.