PUTRAJAYA, 8 Jun- Tourism Malaysia menyasarkan bilangan pelawat domestik sebanyak 220 juta orang tahun ini.
Ketua Pengarahnya, P. Manoharan berkata setakat suku pertama tahun ini, 25 peratus sasaran itu berjaya dicapai.
"Kita memang nak menggalakkan rakyat tempatan untuk melancong dalam negara khususnya semasa cuti sekolah, cuti hujung minggu dan sebagainya," kata P. Manoharan kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pameran Cuti-Cuti Malaysia MADANI Penjawat Awam di kompleks beli-belah, Alamanda, Putrajaya.
Seramai 25 pemain industri pelancongan domestik dipilih menyertai Program Cuti-Cuti Malaysia MADANI Penjawat Awam 2024, yang menawarkan pelbagai pakej pelancongan menarik dengan kadar istimewa.
Program anjuran Tourism Malaysia yang melibatkan agensi pelancongan, hotel, operator produk pelancongan, taman tema, syarikat penerbangan Batik Air, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Karyaneka Sdn. Bhd. itu turut menawarkan tiket taman tema dengan potongan harga sehingga 30 peratus.
"Maka, semua pengusaha ini memang sanggup untuk menawarkan potongan diskaun sebanyak 30 peratus, malah ada juga penglibatan daripada syarikat penerbangan."
"Jadi kalau anda nak melancong sebagai contoh anda nak ke Pulau Pinang, ada warga kota yang nak ke Sabah atau Sarawak atau tempat-tempat seperti pulau dan pantai. Promosi ini sangat-sangat berbaloi untuk dinikmati penjawat awam," tambah P. Manoharan kepada pemberita.
Lebih menarik, ia tidak hanya terhad kepada penjawat awam, malah turut dibuka kepada orang ramai dan semua pengunjung.
Pameran diadakan selama tiga hari bermula sejak Jumaat, 7 Jun sehingga esok, 9 Jun 2024.