KUALA LUMPUR, 29 Oktober – Tenaga Nasional Berhad (TNB) kini menjadi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertama yang bersetuju menetapkan kadar gaji minimum pekerjanya kepada RM1,700.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penetapan gaji minimum ini akan disusuli dengan kenaikan gaji untuk semua kakitangan TNB.
“Langkah pertama ialah menaikkan kadar gaji minimum bagi anggota TNB, diikuti dengan kelulusan kenaikan gaji keseluruhan. Kejayaan TNB tidak hanya dinilai dari segi keuntungan, walaupun itu juga penting,” katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-75 TNB, di sini.
Anwar turut menghargai pihak pengurusan TNB atas kesediaan mereka membuat penyesuaian sesuai dengan tuntutan semasa demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Dalam pada itu, TNB turut digesa beralih ke sumber tenaga baharu dan mengurangkan kebergantungan kepada arang batu, seiring dengan agenda global peralihan tenaga.
“TNB kini perlu bersiap sedia untuk melaksanakan peralihan tenaga atau "energy transition" dengan rapi dan berkesan. Saya mengucapkan tahniah kepada pengurusan TNB atas usaha mencari kaedah penyelidikan yang tepat bagi menjayakan peralihan ini,” tambah Anwar.