
KUALA LUMPUR, 6 Mac – Tindakan segera perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan kerajaan bagi memastikan kestabilan politik tidak terjejas.
- Penggunaan media dan pengaruh luar untuk menggugat kestabilan politik tidak boleh dibiarkan berterusan.
- Berikan ruang kepada pihak berkuasa melengkapkan siasatan kerana isu ini melibatkan keselamatan negara.
- Perdana Menteri mendedahkan gerakan berpangkalan luar negara dengan dana besar, menggunakan pengaruh antarabangsa termasuk kelompok Zionis.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, usaha untuk menggugat kestabilan politik melalui penggunaan media atau pengaruh pihak luar tidak seharusnya dibiarkan berlarutan.
“Perkara ini perlu diambil tindakan segera. Jika tidak, ia akan merebak seperti api dalam sekam dan tidak seharusnya kestabilan politik tergugat disebabkan oleh seseorang yang merasakan bahawa media dan pihak luar digunakan untuk merosakkan kestabilan politik di negara kita,”katanya.
Menurutnya lagi, semua pihak perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa melengkapkan siasatan kerana perkara itu bukan sekadar berkaitan kepentingan politik tetapi turut melibatkan keselamatan negara.
Beliau terdahulu menghadiri Sesi Pertemuan Bersama Warga Pengurusan Tertinggi FELDA di Menara FELDA di sini.
Selasa lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan terdapat cubaan untuk menjatuhkan kerajaan yang didakwa didukung oleh warga tempatan dengan memanfaatkan pengaruh media dan institusi antarabangsa termasuk melibatkan kelompok Zionis terkemuka.
Datuk Seri Anwar berkata, siasatan awal PDRM juga mendapati gerakan berkenaan berpangkalan di luar negara dan mempunyai dana besar bagi merancang strategi untuk mempertikai dan menggugat kerajaan sedia ada.