SUNGAI PETANI, 29 Januari- Tindakan pantas pihak bomba yang tiba di lokasi lebih awal berjaya mengelakkan sebuah kilang pembuatan dan reka bentuk 'thermoforming vacum plastic' untuk pelbagai produk daripada hangus terbakar.
Kebakaran berlaku di kilang yang terletak di Jalan Perusahaan Sungai Tukang, Taman Enggang, Sungai Petani kira-kira pukul 9.00 malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba I Ismail Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS 999 yang memaklumkan terdapat kebakaran kilang di lokasi tersebut pada pukul 9.05 malam.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kedah telah mengarahkan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani dan Tikam Batu segera ke lokasi kebakaran.
“Sebaik tiba, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati kebakaran melibatkan kilang tidak beroperasi kelas A berkeluasan 80 X 100 dan tidak melibatkan mangsa.
"Anggaran kemusnahan kebakaran 20 peratus daripada keseluruhan struktur bangunan. Kebakaran dapat dikawal pada pukul 9.41 malam", katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berdekatan.
Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.