fb fb fb fb fb

Tindakan agresif pecut kenderaan, lari daripada anggota JPJ mengundang padah

KOTA BHARU, 19 Mei - Seorang lelaki bertindak agresif memecut kenderaan sejauh 11 kilometer ketika cuba ditahan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan yang menjalankan Ops Sapu awal pagi tadi.

Namun lelaki berusia 50-an itu berjaya ditahan selepas kereta jenis Proton Persona dipandunya diekori kenderaan milik JPJ di Bulatan Pasir Pekan, Tumpat.

Menurut Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah pihaknya menahan empat buah kereta sapu selepas didapati mengambil penumpang di Terminal Bas Lembah Sireh, Kota Bharu dalam Ops Tapis bermula pukul 3 hingga 9 pagi tadi.

Ke semua pemandu kereta sapu terbabit ditahan selepas 22 pegawai JPJ melakukan penyamaran sebagai penumpang yang turun bas dari Kuala Lumpur.

Tambah Misuari, JPJ Kelantan memandang serius aktiviti kereta sapu yang masih berleluasa di negeri itu walaupun pelbagai tindakan penguatkuasaan telah diambil sebelum ini.

(Misuari bercakap kepada pemberita dalam sidang media di Panji)

"Dah sampai ke destinasi anggota kita yang membuat penyamaran telah turun, namun dapat dihidu dan lelaki berkenaan sempat melarikan diri. Kita memang mengambil serius berkenaan perkara ini, bukan sekadar daripada isu yang tular tetapi kita melihat juga isu-isu yang semakin hari semakin tidak terkawal," kata Misuari di sini.

Mengulas lanjut Misuari berkata susulan daripada penahanan itu empat notis saman telah dikeluarkan atas kesalahan salah guna lesen kereta motor dibawah Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 198.

Jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM10,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada masa sama, orang ramai turut diingatkan agar tidak memilih kereta sapu sebagai pengangkutan kerana ianya tidak dilindungi insurans dan mengundang risiko jika berlaku kemalangan.

Media Baharu