fb fb fb fb fb

Tawaran gaji tinggi dorong jururawat Johor ke Singapura

(Tian Soon menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Hari Jururawat
Peringkat Negeri Johor di Persada Johor)

JOHOR BAHRU, 19 Mei - Johor menghadapi isu kekurangan jururawat ketika ini dengan nisbah seorang jururawat bersamaan 297 pesakit, berbanding nisbah sepatutnya iaitu seorang bagi 200 pesakit.

Menurut Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri, Ling Tian Soon salah satu faktor menyumbang kepada situasi tersebut disebabkan tawaran gaji yang lebih tinggi melibatkan hospital di Singapura.

Sehubungan itu, beliau akan membangkitkan perkara tersebut pada pertemuan bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin dalam masa terdekat.

"Memandangkan setiap tahun makin menambah (jururawat bekerja di Singapura) kerana di sana tawaran gaji yang sangat menarik. Difahamkan gaji diterima seperti gaji seorang doktor pakar di Malaysia apabila mata wang ditukar," katanya.

(Ling Tian Soon)

Tian Soon ditemui selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri Johor di Persada Johor, di sini hari ini yang dihadiri 1,000 jururawat seluruh negeri.

Beliau turut mencadangkan lebih banyak kursus berkaitan kejururawatan diperkenal, seterusnya dapat melahirkan lebih ramai bakal jururawat samada untuk berkhidmat di hospital kerajaan mahupun swasta.

Secara keseluruhan, seramai 12,533 jururawat terdapat di negeri ini dengan 8,777 berkhidmat di hospital kerajaan.

Johor dijangka memerlukan sekurang-kurangnya 15,000 hingga 18,000 lagi jururawat berikutan terdapat pembukaan hospital baharu.

Media Baharu