KUALA LUMPUR, 26 November- Statistik kes penipuan pelaburan melalui aplikasi TikTok menunjukkan peningkatan ketara, mencatatkan kenaikan lebih 90 peratus sejak tahun 2021.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata aplikasi itu kini semakin menjadi pilihan sindiket penipuan untuk mencari mangsa dengan mempromosi skim pelaburan palsu.
"Sebanyak 13 kes direkodkan pada 2021, meningkat kepada 27 kes pada 2022, 59 kes pada 2023, dan 131 kes bagi tempoh Januari hingga Oktober 2024.
"Daripada aspek kerugian, jumlah yang direkodkan meningkat daripada RM400,000 pada 2021 kepada RM1.28 juta pada 2022 dan RM7.25 juta pada 2023. Manakala, setakat Oktober lalu, kerugian dicatatkan mencecah RM6.39 juta," katanya dalam sidang media di sini.
Beliau menjelaskan, angka tersebut menunjukkan media sosial semakin menjadi platform utama sindiket mencari mangsa kerana capaian pengguna yang luas serta kebolehan penjenayah menyembunyikan identiti mereka.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai sebarang iklan pelaburan melalui media sosial tanpa pengesahan yang sahih.