fb fb fb fb fb

Tiket bas masih ada di TBS

(Sempena Aidilfitri kali ini, sebanyak 97 bas tambahan disediakan)

KUALA LUMPUR, 29 April- Sebanyak 53,500 tiket bas masih boleh diperoleh di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) sempena Aidilfitri ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata tiket yang masih ada adalah bagi kawasan Utara sebanyak 17,850 tiket, Selatan (23,800 tiket) dan Timur (11,900 tiket).

Sementara itu, beliau berkata setakat ini sebanyak 23,595 atau kira-kira 30 peratus dari 77,145 tiket bas dijual di TBS.

"Ia membabitkan sebanyak 6,592 trip perjalanan dari 29 April sehingga 8 Mei.

(Wee Ka Siong menyampaikan kit buka puasa kepada penumpang yang menunggu di terminal bas ketika melawat TBS, siang tadi)

"Sebanyak 933 tiket turut dijual menerusi manfaat inisiatif ePemula Keluarga Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri pada 15 April lalu membabitkan jumlah jualan bernilai RM40,215," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di TBS, di sini, hari ini.

Ka Siong berkata, sempena Aidilfitri kali ini juga, sebanyak 97 bas tambahan disediakan berbanding sebanyak 318 bas pada tahun 2019 dan 136 bas pada 2018.

Beliau berkata, permintaan bas tambahan kali ini menurun berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bagaimanapun, ia menunjukkan peningkatan permintaan sekali gus menjadi titik pemulihan industri pengangkutan awam khasnya perkhidmatan bas ekspres selepas negara beralih kepada fasa endemik pada 1 April lalu," katanya.

Media Baharu